Carlo Ancelotti masih berpuas hati dengan pilihan bahagian tengahnya di sebalik laporan Real Madrid sedang mendahului untuk mengikat Jude Bellingham.

Madrid dikatakan menjadi pilihan untuk memancing bintang daripada Borussia Dortmund yang menyinar bersama England dalam Piala Dunia di Qatar bulan lalu itu.

Bellingham memulakan kesemua lima perlawanan melibatkan England yang tersungkur kepada Perancis dalam suku akhir apabila menghasil satu jaringan satu bantuan gol ketika ditugaskan sebagai arkitek di bahagian tengah.

Liverpool dan Paris Saint-Germain (PSG) juga dikatakan menaruh minat terhadap sentuhannya, tetapi spekulasi terbaru mengatakan Madrid bersedia untuk mengukuhkan bahagian tengah biarpun sudah memiliki barisan muda antarabangsa Perancis, Eduardo Camavinga, Aurelien Tchouameni dan bintang Uruguay Federico Valverde.




Ditanya mengenai perbincangan mengenai mendapatkan Bellingham, Ancelotti memberitahu sidang akhbar: "Bellingham terbukti merupakan seorang pemain tengah yang hebat dalam Piala Dunia.

“Terdapat ramai orang muda, Enzo Fernandez, Pedri dan Gavi yang bagus. Terdapat ramai pemain tengah muda yang menyerlah dan Bellingham adalah salah seorang daripada mereka.

"Tetapi saya mahu mengekalkan gandingan bahagian tengah saya yang begitu mantap iaitu Tchouameni, Camavinga, Valverde. Kami mempunyai ramai orang muda di sini."