Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) berkuat kuasa serta-merta.

Dia berkata, peletakan jawatan itu dibuat atas kerelaan dirinya sendiri selain mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya politik.

Katanya lagi, surat peletakan jawatan secara rasmi akan dihantar kepada Setiausaha Agung Safa dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan.

Sementara itu, bercakap mengenai prestasi pasukan bola sepak negeri, dia mengakui sedikit kecewa dengan pencapaian turun naik pasukan Sabah FC.

Bagaimanapun, sepanjang mengetuai badan induk bola sepak itu, pasukannya telah berupaya melakukan perubahan dalam pencapaian selain pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan.

"Saya tetap gembira kerana sedikit sebanyak berjaya membawa perubahan kepada pentadbiran Safa dan beberapa kejayaan pasukan Sabah FC walaupun ia masih di tahap yang masih belum memuaskan.




"Mengurus badan induk bola sepak khususnya pasukan Sabah FC memerlukan sokongan serta dokongan daripada semua pihak terutama daripada peneraju utama kepimpinan negeri yang memerlukan kesungguhan untuk membantu Safa khususnya pasukan Sabah FC melangkah lebih jauh ke hadapan," katanya.

Dia turut menegaskan sejak mengambil alih tampuk pentadbiran Safa, tiada sebarang agenda peribadi selain berhadapan dengan pelbagai cabaran daripada segi kekangan waktu dan sumber kewangan untuk memajukan mutu serta pencapaian sukan bola sepak di negeri itu.

"Menjadi harapan saya dan semua peminat yang selama ini menyanjung tinggi pasukan bola sepak Sabah agar terus memberikan sokongan kepada pengganti saya," katanya.

Ahli Dewan Parlimen Kinabatangan itu memegang tampuk pentadbiran badan induk berkenaan sejak Jun 2021.

Sebelum itu, pada Disember 2020 ahli majlis tertinggi Safa sebulat suara bersetuju melantik Bung Moktar sebagai pemangku Presiden Safa dan disahkan sebagai presiden menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Safa pada Jun 2021.

Kredit: Sinar Harian