Menjelang sepak mula perlawanan tumpuan minggu ini melibatkan dua pasukan terbaik Liga Super, ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, menjadikan pengalaman tewas pada empat pertemuan musim lalu sebagai pengajaran untuk kembali tampil di laman keramat Stadium Sultan Ibrahim sebagai pasukan lebih lengkap.

Dalam masa sama, Kim Swee memberi bayangan kesebelasan utamanya bakal membariskan muka baru ekoran tonggak utamanya masih belum pulih sepenuhnya -- namun Kim Swee memberikan peringatan buat skuad kendaliannya agar tidak mengulangi kesilapan sama jika mahu membawa pulang mata dari bumi Johor.


Empat kemenangan dan satu keputusan seri mencerminkan Sabah memulakan saingan musim ini dengan konsisten -- dan keputusan positif itu diraih menerusi gandingan kesebelasan yang sama.

Antara tonggak yang menjadi nadi kekuatan sepasukan Sabah, Park Tae-soo, Saddil Ramdani, serta Telmo Castanheira yang memainkan watak penting di sebalik deretan gol yang terhasil.

Namun, Kim Swee menawarkan perspektif tersendiri apabila ditanya mengenai kebarangkalian buat kali pertama musim ini, akan ada pertukaran dalam kesebelasan utamanya, ini reaksi bekas jurulatih Harimau Malaya itu.

"Saya tidak meletakkan kesebelasan yang sama untuk perlawanan ini. Tae-soo dan Saddil adalah watak utama pasukan dan saya menjangkakan pemain lain turut mampu menyinar serta menghadirkan permainan yang konsisten," kata Kim Swee.

Biarpun menyedari JDT berada di kemuncak prestasi dengan memiliki purata empat gol setiap perlawanan musim ini -- namun itu tidak mematahkan semangat Kim Swee merencana taktikal berkesan dalam usaha menjadi pasukan pertama mencalarkan rekod sempurna JDT.

"Kami mengetahui JDT adalah pasukan pilihan. Bukan satu tugas mustahil namun kami bagaimanapun kekal realistik dan Sabah perlu kekal fokus sehingga tamat permainan."