Bruno Fernandes memberikan gambaran mengenai komitmen jangka panjangnya bersama Manchester United.

Selepas dua musim menarik bersama The Red Devils, perancang Portugal itu diberikan jersi nombor 8 musim ini susulan pemergian Juan Mata.

Menjelang aksi 'derby' Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester City di Stadium Etihad malam ini, Fernandes mendedahkan betapa dia akan memberikan segala-galanya untuk kelab itu.

"Menjadi seorang kanak-kanak di Portugal, menonton EPL dan kelab-kelabnya, ia merupakan impian saya untuk datang ke Theatre of Dreams, Old Trafford dan merasai pengalamannya," katanya.

Pemain tengah itu turut berkata bahawa dia amat selesa berada di bandar Manchester dan telah menemui ketenangannya di United.

Dia berkata kepada manutd.com: "Saya mahu berada di sini untuk tahun-tahun yang panjang akan datang. Saya mahukan kestabilan buat keluarga saya.

"Kami gemar berada di sini, kami sukakan negara ini, kami mahukan keluarga yang berpusat di sini dan anak-anak yang membesar di sini, bersama rakan mereka, gembira dengannya. Yang paling penting adalah ia untuk kebaikan kami," katanya.