Arsenal akan menentang Barisan Bintang Liga Bolasepak Utama (MLS) yang akan dibimbing Wayne Rooney dalam satu perlawanan persahabatan Julai depan.

Perlawanan pemanas badan tahunan berkenaan bakal menyaksikan Rooney membentuk sebuah skuad yang terdiri daripada pemain pilihan dalam kancah di Amerika Syarikat (AS) itu.

Sejak dua tahun yang lalu, Barisan Bintang MLS telah berdepan Barisan Bintang Liga MX yang menyaksikan kelab dari AS mengunggulinya.

Bagaimanapun, edisi 2023 akan menyaksikan Barisan Bintang MLS kembali menghadapi ujian kelab Eropah dengan Arsenal sah akan membuat kemunculan kedua.

The Gunners pernah menewaskan Barisan Bintang MLS 2-1 yang ketika itu terdiri daripada Andrea Pirlo, Kaka, Didier Drogba dan David Villa di San Jose pada 2016.




Perlawanan tahun ini akan diadakan di Audi Field di Washington dan penjaring terbanyak England, Rooney –- kini melatih D.C. United dalam MLS -- bersedia menggalas cabaran itu.

“Saya mempunyai tempat duduk di barisan hadapan untuk menyaksikan pertumbuhan dan perkembangan MLS, pertama sekali sebagai pemain dan kini sebagai pengurus,” katanya dalam satu kenyataan.

"Peluang untuk memimpin pemain terbaik yang ditawarkan oleh liga kami untuk menentang sebuah kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Arsenal akan menjadi kemuncak buat saya secara peribadi dan akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat peminat kami yang bersemangat di D.C ini."