Kejayaan menjulang dua piala dalam tempoh tidak sampai sebulan, membuatkan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio bertekad untuk terus bekerja keras bagi membantu skuad Harimau Selatan itu melakar lebih banyak kejayaan selepas ini.

Justeru, menurut pengendali berusia 54 tahun itu, dia mahu kesemua pemain kekal fokus selain bekerja keras dalam usaha meneruskan momentum kemenangan pada baki empat perlawanan Liga Super selepas ini.

"Semestinya ia satu perasaan yang ‘indah’ apabila memenangi dua piala dalam tempoh tidak sampai sebulan...tetapi apa yang paling penting adalah pemain dapat lebih fokus untuk mengharungi baki perlawanan.

“Mereka (pemain), juga perlu terus bekerja keras dan dalam masa terus meningkatkan mutu permainan masing-masing untuk menjadi lebih baik,” katanya pada Sabtu.

JDT pada Sabtu melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan selaku juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut sejak musim 2014 apabila menewaskan Negeri Sembilan FC, 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Dua gol masing-masing daripada pemain sayap lincah, Ariff Aiman Mohd Hanapi dan Bergson da Silva dan satu gol daripada Leandro Velasquez, nyata sudah cukup memadai bagi mengesahkan hattrik treble (treble hatrik) skuad Harimau Selatan, kali ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu meraih 46 mata, lebih 10 mata daripada pencabar terdekat, Sabah FC yang meraih 36 mata. selain turut memiliki kelebihan kurang satu perlawanan bagi mengesahkan status selaku juara Liga Super kali ini biarpun masih berbaki empat perlawanan.

Selain itu, JDT juga dilihat berpeluang mencatat sejarah selaku kelab pertama melakar kejayaan quadruple (empat piala semusim), apabila bakal beraksi dalam saingan Piala Malaysia tidak lama lagii.

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan itu telah menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super setakat ini.

Mengulas mengenai ‘rahsia’ kemenangan JDT ke atas skuad Hobin Jang Hobin itu, Bidoglio menegaskan pihaknya hanya memanfaatkan tempoh rehat selama dua minggu sebelum ini bagi menyediakan pasukan.

“Setelah memenangi Piala FA, kita hanya ada rehat selama tiga hari sebelum berdepan PJ City FC yang menyaksikan kita terikat 2-2.

“Ketika itu, pemain-pemain jelas keletihan kerana jadual yang agak padat, ditambah dengan pemergian beberapa pemain menyertai skuad kebangsaan (48th King’s Cup).

“Bagaimanapun, kami berjaya memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam tempoh dua minggu itu dan seterusnya bersedia untuk mengharungi perlawanan dengan Negeri Sembilan FC,” katanya.