Skuad badminton wanita negara menutup mulut pengkritik dengan melayakkan diri secara merit ke Piala Uber apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Manila hari ini.

Malaysia menewaskan Taiwan 3-1 dalam suku akhir dan akan mencongak perhitungan dengan Jepun dalam separuh akhir esok.

Takdir skuad negara mungkin berbeza jika perseorangan pertama, Soniia Cheah, gagal dalam pemburuan mata pertama.

Taruhan utama itu menghadapi waktu getir sebelum menewaskan Pai Yu Po 21-14, 17-21, 22-20.

"Saya bermain untuk Malaysia dan saya bermain untuk rakan sepasukan saya," kata Soniia kepada Nadi Arena.

"Selagi perlawanan belum tamat, saya tidak boleh mengaku kalah.

"Jadi saya terus berjuang sehingga ke penamatnya.

"Mujur kemenangan ini menjadi milik saya," katanya.

Selepas beregu utama, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, tewas 21-14, 21-14 kepada Hsu Ya Ching-Hu Ling Fang, perseorangan kedua negara, Goh Jin Wei, turun dengan aksi melawan.

Meskipun tewas 23-21 dalam set pertama, juara remaja dunia itu, yang sebelum ini terpaksa berehat panjang kerana menjalani pemulihan rawatan masalah usus, bangkit untuk memenangi dua set berikutnya 21-8, 21-12.

Beregu muda negara, Pearly Tan-M.Thinaah, pula tidak berselindung disebalik kejayaan menyumbang mata kemenangan buat Malaysia.

Situasi bermula cemas apabila mereka tewas 18-21 kepada Cheng Chi Ya-Liu Chiao Yun dalam set pertama, namun bangkit untuk mengesahkan kemaraan Malaysia dengan kemenangan 21-17, 21-18.

"Saya amat gembira dan teruja kerana dapat menyumbangkan satu mata buat negara," kata Pearly.

"Secara keseluruhan, saya amat gembira.

"Cuma, apabila berdepan mata penting, kami terlalu gopoh sehingga melakukan kesilapan."