Toronto FC menganggap Federico Bernardeschi sebagai "sesuatu yang tepat diperlukan ketika ini" sebaik pasukan Kanada itu selesai melengkapkan proses perpindahan pemain sayap Juventus berkenaan.

Pemain kebangsaan Itali itu, yang meninggalkan Bianconeri dengan status ejen bebas selepas kontraknya tamat bulan lalu, mengikat kesepakatan selama empat tahun bersama pasukan Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) berkenaan.

Bernardeschi merupakan pemain Itali ketiga menyertai Toronto dalam jendela perpindahan kali ini selepas Lorenzo Insigne dan Domenico Criscito turut didatangkan ke Ontario.

Pemenang tiga gelaran Serie A itu akan memanfaatkan pengalamannya untuk membantu The Reds selepas mengumpulkan 182 penampilan dalam kesemua kejohanan buat Juventus dan menghasilkan 12 gol dan 20 bantuan jaringan.

Pemain sayap berusia 28 tahun itu turut melakukan 39 penampilan bersama skuad senior Itali dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang memenangi Euro 2020.