Karim Benzema mencetuskan kegusaran apabila mengalami kecederaan dalam sesi latihan Real Madrid hari ini.

Pemain kebangsaan Perancis itu terpaksa menjalani rawatan sebanyak dua kali di bahagian buku lalinya selepas berdepan terjahan Vinicius Tobias dalam sesi latihan menjelang aksi persahabatan menentang Club America di San Francisco pagi esok.

Pemain berusia 34 tahun itu, yang baru kembali menyertai latihan dan tidak terlibat sewaktu pasukannya tewas kepada Barcelona dalam aksi El Clasico di Las Vegas hujung minggu lalu, dapat meneruskan sesi berkenaan tetapi tahap kecergasannya masih menjadi tanda tanya.

Bagaimanapun, dia mengurangkan kegusaran itu dengan satu ciapan Twitter bertulis: "Jumpa anda esok..."

Ferland Mendy dilaporkan akan terlepas perlawanan itu manakala Dani Carvajal pula tidak menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukannya kerana masih menjalani pemulihan kecederaan buku lali.

Madrid akan menamatkan jelajah pramusim mereka di Amerika Syarikat dengan perlawanan menentang Juventus di Rose Bowl hujung minggu ini.