Jude Bellingham tidak berminat untuk meninggalkan Borussia Dortmund dalam jendela perpindahan kali ini walaupun terdapat minat daripada Liverpool, kata Pengarah Sukan BVB, Sebastian Kehl.

Liverpool dilaporkan sedang mengalihkan fokus mereka untuk mendapatkan pemain kebangsaan England berkenaan bagi memperkuatkan jentera tengah mereka menjelang tarikh tutup jendela perpindahan pada Khamis ini.

Bagaimanapun, Kehl menegaskan masih tiada pendekatan formal daripada pasukan itu untuk mendapatkan Bellingham sambil melabel pemain itu sebagai bukan untuk dijual sehingga penamat jendela perpindahan kali ini.

"Tiada sebarang tawaran untuknya," kata Kehl kepada Sky90.

"Sejujurnya saya mengetahuinya daripada pemain itu dan keluarganya.

"Jude tidak berminat untuk ke mana-mana musim panas ini. Dia akan kekal bersama kami.

"Itulah yang boleh saya jamin kepada anda hari ini. Saya dapat lihat dia amat selesa bersama kami," katanya.