Pemain tengah Borussia Dortmund, Jude Bellingham, merupakan pemain yang sepatutnya disasarkan oleh Liverpool dan boleh menjadi pembelian terbaik buat kelab berkenaan.

Itu pandangan bekas pemain Liverpool, John Barnes, yang turut berkata kepada Stats Perform bahawa The Reds terlepas peluang terbaik untuk mendapatkan Yves Bissouma, yang telah ditandatangani Tottenham.

Liverpool sudahpun bergerak aktif dalam jendela perpindahan kali ini, di mana mereka menandatangani Darwin Nunez dan Fabio Carvalho bagi memperkuatkan jentera serangan mereka selepas kehilangan Sadio Mane, yang menyertai Bayern Munich.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu sedang dikaitkan dengan sejumlah pemain, termasuk bintang Dortmund dan pemain kebangsaan England, Bellingham.

Bellingham telah mencipta impak besar buat pasukan Bundesliga berkenaan sebaik tiba daripada Birmingham City dua musim lalu dan Barnes mahu melihat pemain itu kembali ke arena bola sepak Inggeris.



"Saya fikir dia seorang pemain yang hebat," kata Barnes mengenai Bellingham.

"Seorang lagi pemain yang saya fikir amat sesuai untuk Liverpool tetapi telah ke Tottenham adalah Yves Bissouma.

"Sudah pasti dia bukan lagi satu pilihan kerana telah menyertai Tottenham tetapi itulah bentuk seorang pemain tengah yang kami mahukan.

"Pemain tengah yang amat rajin, mungkin lebih kepada bertahan daripada menyerang, yang mungkin tidak menjaringkan banyak gol tetapi bekerja keras, memenangi bola, naik ke atas dengan cepat.

"Jude Bellingham sama seperti itu. Dia mungkin sedikit kurang daripada segi kualiti sewaktu memiliki bola. Dia orang Inggeris, dia muda dan sudah pasti akan menjadi pembelian terbaik buat kami.

"Tetapi ia mungkin tidak akan berlaku tahun ini. Harap-harap kami dapat menandatanganinya musim depan," katanya.

Walaupun baru berusia 18 tahun, Bellingham melakukan 44 penampilan dalam semua kejohanan buat Dortmund sepanjang musim 2021-22 -- lebih empat perlawanan berbanding mana-mana pemain lain.

Dia juga telah mengumpulkan 15 penampilan bersama skuad senior England dan menjadi pemain termuda mewakili negaranya dalam Euro 2020 tahun lalu.