VILLAREAL 1 BAYERN 0

Pengurus Bayern Munich, Julian Nagelsmann, mengakui pasukannya memang wajar kalah dalam pertemuan suku akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) menentang Villarreal, awal pagi tadi.


Arnaut Danjuma menyumbat gol tunggal perlawanan pada minit kelapan cuma kegagalan memanfaatkan deretan peluang menghalang tuan rumah menang selesa ke atas gergasi Jerman itu bagi defisit lebih besar menjelang perlawanan timbal balik minggu depan.

Buat kali pertamanya Bayern gagal menghasilkan sebarang gol di pentas berprestij Eropah berkenaan sejak Februari 2019 (0-0 lawan Liverpool) untuk menamatkan rentetan 30 perlawanan berturut-turut yang menyaksikan mereka meledak sekurang-kurangnya sekali.

Walaupun Nagelsmann akur dengan kemenangan Villarreal, dia masih percaya anak buahnya memiliki kemampuan untuk mengubah senario itu.

"Kami berhak kalah. Kami tidak bagus hari ini. Dalam babak pertama, kami kurang kental di bahagian pertahanan dan berdepan peluang yang terhad," katanya kepada DAZN.

"Separuh masa kedua menjadi sangat liar. Kami melepaskan kawalan kerana kami terdesak untuk menjaringkan gol.

"Saya fikir pihak lawan patut mampu menambah beberapa gol lagi tetapi keputusan kekal 1-0. Kami tidak beraksi dengan baik hari ini dalam segala aspek.

"Mujur hanya 1-0 dan kami perlu mempamerkan sisi sebenar kami dalam perlawanan kedua; kami tahu bagaimana untuk melakukannya dan saya fikir kami akan melakukannya."





Ditanya di mana kesilapan pasukannya daripada segi taktikal, Nagelsmann menggariskan elemen kekurangan keamatan di bahagian sayap.

“Seperti biasa apabila menentang sebuah pasukan Sepanyol yang mempunyai pemain yang bagus dan jarang melakukan kesilapan,” tambahnya.

“Mereka mempunyai kualiti dengan bola.

"Di bahagian sayap kami tidak begitu mengancam, kami juga tidak membentuk formasi yang baik. Tiada apa-apa yang berkesan buat kami dan kami hanya mampu mencipta sedikit peluang. Kami berhak kalah."