Bayern Munich memulakan saingan Bundesliga musim 2017/18 dengan kemenangan selepas menewaskan Bayer Leverkusen 3-1 dalam aksi di Allianz Arena, semalam.

Bagaimanapun, pengendali, Carlo Ancelotti, mahu anak-anak buahnya meningkatkan prestasi dalam usaha untuk memastikan kejuaraan liga berjaya dipertahankan.

“Ia satu perlawanan sukar. Kami menjaringkan gol awal, namun tidak bertahan dengan baik.

“Kami membiarkan terlalu banyak ruang dan ternyata pemain-pemain perlu meningkatkan kualiti permainan. Untuk mengelakkan gawang bolos, kami perlu lebih mengawasi setiap kawasan,” kata Ancelotti.

Tanpa beberapa pemain utama seperti Manuel Neuer, Javi Martinez, James Rodriguez, Thiago dan Jerome Boateng, Ancelotti mempertaruhkan muka-muka baru.

Antaranya adalah Niklas Sule serta Corentin Tolisso dan percaturan itu jelas membuahkan hasil apabila kedua-duanya berjaya menjaringkan dua gol awal Bayern dalam penampilan pertama mereka secara kompetitif buat The Bavarians.

“Ini adalah hari istimewa buat saya. Perlawanan dan gol pertama untuk kelab baru. Ia sesuatu yang hebat di hadapan ribuan penyokong di sini,” ujar Sule.

“Perlawanan ini adalah sesuatu yang sukar. Walaupun kami meraih peluang baik dalam babak pertama, separuh masa kedua tidak begitu menjadi buat pasukan,” tambahnya.

Satu lagi gol Bayern disempurnakan oleh penyerang, Robert Lewandowski, selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti lapan minit selepas perlawanan bersambung dalam babak kedua.

Leverkusen meraih gol sagu hati menerusi Admir Mehmedi pada minit ke-65, namun tidak berjaya mengekang tuan rumah daripada meraih kemenangan 3-1.