Lee Chong Wei muncul tokoh badminton terbaru yang mengusulkan agar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membatalkan kesemua kejohanan tahun ini berikutan musibah yang menimpa kejohanan pertunjukan tenis yang dianjurkan Novak Djokovic baru-baru ini.

Bintang tenis kelahiran Serbia itu antara pemain yang disaring positif COVID-19 dalam Kejohanan Adria yang dilangsungkan dengan jarak sosial minimum.

Lantaran itu, Chong Wei menyatakan keraguannya mengenai kempen kejohanan badminton akan bersambung lagi tahun ini sambil mencadangkan kepada badan dunia itu supaya hanya mengadakannya pada 2021.

"Saya rasa wajar untuk kejohanan antarabangsa dibatalkan tahun ini. Kejohanan (perlu dilangsung) tahun depan (memandangkan ia) terlalu berisiko. Lihat saja apa yang berlaku pada Djokovic dan pemain NBA," katanya kepada akhbar tempatan, New Straits Times.


A post shared by Novak Djokovic (@djokernole) on



Kancah NBA menyaksikan beberapa pemain menguji positif pandemik itu termasuk pemain All-Star Denver Nuggets, Nikola Jokic, di sebalik perancangan untuk dipertandingkan bulan depan.

"Saya ingin mengelak (daripada mencetuskan) spekulasi tetapi saya mendengar terlalu banyak khabar angin. Adakah Piala Thomas dan Uber akan berjalan seperti yang dirancang? Adakah Sukan Olimpik akan ditunda lagi?

"Saya tahu adalah penting bagi BWF untuk kembali melangsungkan kejohanan berhubung hak penyiaran untuk menjana pendapatan. Tetapi persatuan seperti Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan kehilangan pendapatan untuk mengadakan kejohanan memandangkan mereka tidak akan mendapat menjana hasil penjualan tiket.

"Kami juga belum mempertimbangkan polisi perjalanan. Malaysia mungkin tidak mempunyai banyak kes COVID-19 tetapi bagaimana pula dengan pemain dari negara lain?" tambahnya.

Menurut perancangan terbaru mereka, BWF memilih Ogos depan untuk musim ini menyambung kempen musim ini disusuli kejohanan utama pada bulan berikutnya biarpun kebanyakan negara belum mahu melonggarkan sekatan perjalanan antarabangsa mereka.

Saranan bekas jaguh nombor satu dunia itu mengulangi permintaan pemain profesional negara, Goh Liu Ying, yang berharap penganjuran kejohanan hanya diteruskan tahun depan kerana pemain beregu campuran itu juga gusar ancaman virus yang terus membelenggu dunia.