Pengerusi Juventus, Andrea Agnelli, dan keseluruhan ahli lembaga pengarah kelab meletakkan jawatan secara mengejut, awal pagi tadi.

Bianconeri akan menyaksikan perubahan besar dalam barisan pengurusan selepas pengesahan bahawa mesyuarat pemegang saham yang dijadualkan minggu lalu ditangguhkan ke bulan depan.

Di samping Agnelli yang mengendalikan kelab sejak 2010, antara yang turut mengikut jejak langkah itu ialah naib presiden, Pavel Nedved, dan pengarah urusan, Maurizio Arrivabene.

Dalam masa sama, Arrivabene nampaknya masih kekal sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab bagi mengawasi pengenalan barisan ahli lembaga baharu yang akan disahkan pada Januari depan.

Dalam satu kenyataan daripada kelab itu, Juventus mengesahkan ahli lembaga telah menuruti nasihat supaya meletakkan jawatan berikutan isu yang dibangkitkan oleh pihak berkuasa pasaran sekuriti Itali, Consob, dan juruaudit Deloitte.

"Selepas mengambil kira kepentingan dan kerelevanan isu perundangan dan perakaunan teknikal yang belum selesai, ahli lembaga pengarah menganggap adalah menjadi kepentingan sosial terbaik untuk mengesyorkan agar Juventus menerima barisan lembaga pengarah yang baharu untuk menangani isu ini," katanya.



“Bagi tujuan ini, atas cadangan Pengerusi, Andrea Agnelli, kesemua ahli lembaga pengarah yang hadir dalam mesyuarat ini mengisytiharkan bahawa mereka meletakkan jawatan mereka.

"Mereka telah meminta Maurizio Arrivabene untuk kekal menggalas jawatan CEO."

Pengumuman itu seolah-olah menamatkan hubungan selama beberapa dekad kelab dengan Agnelli yang merupakan ahli keempat keluarganya untuk berkhidmat sebagai pengerusi.

Juventus kini di tangga ketiga Serie A, tetapi terlepas peluang mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dan akan meneruskan perjuangan dalam Liga Europa musim ini.