Barcelona mengesahkan awal pagi tadi bahawa mereka telah mencapai kesepakatan untuk menandatangani Ferran Torres daripada Manchester City dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai €65 juta (RM307.25 juta).

Pemain kebangsaan Sepanyol itu akan kembali ke LaLiga selepas 18 bulan beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan telah menandatangani kesepakatan sehingga 2027.

Barca dikatakan akan membayar yuran pendahuluan €55 juta (RM260 juta) sebelum melunaskan bayaran tambahan sebanyak €10 juta (RM47.27 juta).

Pasukan gergasi Catalan itu turut mendedahkan bahawa terdapat klausa pelepasan bernilai €1 bilion (RM4.73 bilion) dalam kontrak Torres itu dan dia akan diperkenalkan secara rasmi di Camp Nou pada 3 Januari ini.

City sebelum ini pernah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak €23 juta (RM108.72 juta) untuk mendapatkan Torres daripada Valencia pada 2020 dan ia bermakna, mereka kini perlu mengeluarkan kos lebih sekali ganda untuk kembali mendapatkan pemain itu, yang sebelum ini tidak pernah diiktiraf dalam kesebelasan utama mereka.

Barca dikaitkan untuk mendapatkan Torres menjelang permulaan musim ini tetapi masalah kewangan kelab itu menyaksikan perpindahan berkenaan tidak dapat dijayakan.

Ketibaan Torres bermakna ketua jurulatih baru, Xavi, mempunyai barisan penyerang muda yang lebih dinamik seperti yang dimahukannya, di mana pemain berusia 21 tahun berkenaan boleh bermain di bahagian tengah dan kanan, di mana dia kerap diletakkan sewaktu bersama Valencia.

Sejak Xavi kembali ke Barcelona, dia kerap bercakap mengenai keinginannya untuk memiliki seorang pemain sayap klasik dan keenggannya untuk menggunakan Luuk de Jong sebagai pemain sasaran di bahagian serangan menyaksikan dia memerlukan seorang penyerang tengah yang bertenaga dan Torres kelihatan sesuai memainkan kedua-dua peranan itu.