Real Madrid tidak boleh leka sekalipun Barcelona bergelut pada awal musim ini, laung pertahanan kelab ibu kota Sepanyol itu, Dani Carvajal.

Barca berada di tangga kesembilan LaLiga menjelang rehat antarabangsa bulan ini, 11 mata di belakang pendahulu, Real Sociedad, dan 10 mata di belakang Madrid yang menguasai tempat kedua.

Blaugrana gagal menang dalam empat perlawanan terakhir sejak Lionel Messi menyertai Paris Saint-Germain (PSG) untuk hari-hari gelap di Camp Nou berterusan.

Xavi yang merupakan legenda kelab itu menggalas tugas sebagai pengurus sebaik kempen musim ini bersambung sejurus jadual antarabangsa selepas Sergi Barjuan menyelia dua perlawanan liga sejak pemecatan Ronald Koeman.

Xavi, yang memenangi 25 anugerah utama dalam kariernya sebagai pemain Barca, dalam majlis pengenalannya minggu ini berkata: "Kami perlu bekerja keras untuk kembali memenangi trofi."

Kebanyakan pengulas menjangkakan, mereka perlu menunggu sekurang-kurangnya hingga musim depan untuk menjulang gelaran liga, tetapi penyokong kuat Madrid, Carvajal, enggan mengetepikan cabaran Barca begitu sahaja.

"Ia meleset jauh," katanya kepada Marca.

"Kami menghormati kesemua pesaing yang ada. Kami terkejut melihat Barca tercicir begitu jauh tetapi tiada siapa boleh mengetepikan kemampuan mereka untuk meraih sebarang kejuaraan.

"Rasa hormat adalah mustahak. Setiap pasukan pasti menempuhi detik yang lebih baik dan buruk dan setiap pasukan mampu bersaing."





Carvajal juga menjangkakan impak besar daripada Xavi dengan berkata: "Ia adalah satu perubahan yang selamat. Kehadiran tokoh seperti Xavi untuk Barcelona akan meyemarakkan semangat mereka.

"Walaupun dia adalah seteru kami, saya mengucapkan selamat maju jaya di dunia -- bukan ketika menentang kami -- kerana dia juga merupakan rakan sekerja kami."