Klausa 'ketakutan' dalam kontrak pinjaman menghalang dua pemain daripada menentang Barcelona musim ini.

LaLiga tidak membenarkan sebarang pemain pinjaman daripada dihalang menentang kelab induk masing-masing, lantas memaksa Barca mencari jalan alternatif.

Diario Sport dan Catalunya Radio melaporkan Barca telah mengetengahkan klausa khas itu ke atas Nico Gonzalez dan Ez Abde.

Sekiranya Valencia tetap menurunkan Nico ketika bertemu menentang Barcelona, maka Los Che perlu membayar wang pampasan tambahan kepada kelab Catalan itu.

Barangkali kelibat Alex Collado yang langsung tidak kelihatan di bangku simpanan Elche pada hujung minggu lalu ada kena mengena dengan klausa sedemikian.

Dalam masa sama, Barca turut tersepit dengan kelicikan Atletico Madrid yang mengelak untuk membayar bonus kepada seteru LaLiga itu berhubung masa depan Antoine Griezmann yang berdepan had minit permainan.