Barcelona akan sekali lagi kehilangan khidmat Ansi Fati untuk tempoh panjang gara-gara kecederaan terbaru yang dialami pemain itu.

Pemain kebangsaan Sepanyol berusia 19 tahun itu kurang bernasib baik apabila kerap mengalami kecederaan serius dan dia kelihatan mengalirkan air mata ketika dikeluarkan tidak lama selepas dimasukkan sebagai pemain gantian sewaktu pasukannya tewas kepada Athletic Bilbao dalam aksi Copa del Rey semalam.

Fati dimasukkan selepas sejam permainan tetapi terpaksa digantikan pada awal masa tambahan, di mana Barcelona berkata selepas perlawanan itu bahawa dia mengalami "kecederaan bisep femoral di paha kirinya".

Ulasan mengenai diagnosis itu diperbetulkan awal pagi tadi dan masih belum ada kepastian sama ada Fati masih dapat bermain lagi menjelang penghujung musim ini atau tidak.

Barcelona berkata dalam satu kenyataan: "Ujian yang dijalankan ke atas pemain pasukan utama, Ansu Fati, hari ini mengesahkan bahawa dia mengalami kecederaan tendon proksimal di hamstring kaki kirinya. Dalam beberapa hari ke depan, rawatan yang akan dijalankan akan ditentukan."

Kelab itu menambah dalam Instagram: "Anda akan kembali dengan lebih kuat, pahlawan."

Akhbar yang berpangkalan di Barcelona, Mundo Deportivo, melaporkan bahawa kelab itu menyarankan Fati agar menjalani pembedahan.

Pemain remaja itu hanya dapat beraksi sebanyak 10 perlawanan dalam kesemua kejohanan musim ini, di mana dia baru sahaja kembali daripada waktu rehat selama dua bulan berikutan kecederaan hamstring.

Sebelum itu, Fati juga terpaksa berehat selama 10 bulan gara-gara kecederaan lutut serius sebelum kembali memperkuatkan Barcelona pada September lalu.

A post shared by FC Barcelona (@fcbarcelona)