Presiden LaLiga, Javier Tebas, mengisytiharkan Barcelona berada di landasan yang tepat untuk mendaftarkan pemain baharu mereka sebelum musim bermula sambil menegaskan bahawa mereka tidak boleh menekan Frenkie de Jong agar bersetuju memotong gajinya.

Isu kewangan kelab Catalan itu menjadi perhatian utama dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi pengurus, Xavi, masih mampu memancing ramai pemain apabila mendapatkan Raphinha dan Robert Lewandowski sementara Jules Kounde akan menyusul daripada Sevilla.

Aktiviti itu telah menimbulkan keresahan di seluruh Eropah mengenai bagaimana Barcelona mampu mendapatkan rekrut baru selain beberapa pemain dijangka akan dilepaskan di penghujung jendela perpindahan musim panas ini bagi mengimbangi prestasi kewangan mereka.

Tebas mengakui perkara itu memang berlaku, cuma tinggal tugas kecil yang masih perlu diselesaikan Barcelona tetapi situasi berkenaan nampaknya tidak membimbangkan.

Kelab Catalan itu telah mengumpul dana dengan menjual sebahagian daripada pendapatan hak penyiaran pada masa depan, secara tidak langsung merangsang kewangan mereka segera.

"Kami mengikuti semua pergerakan Barca dengan sangat dekat tetapi apabila tiba soal dokumentasi dan pengurangan pemain perlu dilakukan, kami akan mengkaji adakah mereka dapat mendaftarkan semua orang," kata Tebas.

"Mereka sedar apa yang perlu dilakukan. Mereka masih mempunyai sedikit kerja yang perlu dibereskan dalam usaha mendaftarkan semua pemain yang telah ditandatangani termasuk yang akan dibeli. Saya rasa buat masa ini mereka berada di landasan yang betul."




Dalam masa sama, usaha Manchester United untuk mendapatkan pemain antarabangsa Belanda, Frenkie de Jong, belum lagi berakhir sekalipun Barcelona dilaporkan sedia untuk menjualnya tetapi tuan badan sendiri pula yang tidak yakin.

Barcelona dikhabar sedia mendesak De Jong untuk bersetuju dengan pemotongan gajinya sekiranya berhasrat kekal di kelab itu tetapi ia sama sekali tidak akan dibenarkan.

"LaLiga akan menguatkuasakan undang-undang. Pemain tidak boleh ditekan atau diketepikan, ia adalah tanda perjanjian kolektif, undang-undang, alasan dan etika," katanya lagi.

Xavi telah pun mengakui status kewangan mungkin memainkan peranan terhadap masa depan De Jong biarpun menjelaskan dia adalah tunjang Barcelona.

"Dia pemain utama tetapi ada situasi ekonomi dan peraturan kewangan adil. Saya sangat menyukainya sebagai pemain," kata Xavi selepas kemenangan 1-0 ke atas Real Madrid.