Xavi menggesa Barcelona supaya "terus mempercayai projek yang diterapkannya" selepas menyaksikan anak buahnya tersingkir daripada Liga Europa, Jumaat lalu.

Barca gagal melolosi suku akhir apabila disingkirkan Eintracht Frankfurt tetapi mengekalkan prestasi mengagumkan dalam LaLiga selepas membimbing mereka memanjat ke tangga kedua.

The Blaugrana terus mengekori pendahulu, Real Madrid, apabila belum tewas dalam 15 perlawanan terakhir liga dengan memenangi tujuh perlawanan terakhir.

Xavi menegaskan pasukannya harus melupakan kegagalan di Eropah sekiranya mereka ingin mencatat kemenangan kelapan berturut-turut buat kali pertama sejak Januari 2019 apabila bakal menerima kunjungan Cadiz, awal pagi esok.

"November lalu, kami sedar kami perlu lebih berdaya saing memandangkan lima atau enam tahun lalu kami tidak cukup bagus dalam saingan Eropah," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pra-perlawanan.

“Kami perlu terus percaya dengan projek ini, kami bersaing dengan baik di Napoli tetapi tidak ketika menentang Eintracht.

“Ia satu tamparan yang sukar, mereka telah menyingkirkan kami daripada Liga Europa sungguhpun kami begitu mendambakan kemenangan bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara (UCL) dan kami tidak berjaya.

"Kami menyemarakkan semangat pasukan ini, mengkaji aspek kegagalan selain apa yang telah kami lakukan dengan baik. Pendek kata, ia adalah berkenaan untuk terus mempercayai terhadap apa yang kami usahakan. Sedikit demi sedikit dengan kesabaran.

"Kini tiba masanya memberikan tumpuan untuk mendapatkan tiket UCL (melalui LaLiga)."


Tatkala pendekatan taktikalnya dipersoalkan, Xavi menjawab: "Kami telah memenangi lima kejuaraan UCL dengan gaya ini. Falsafah yang diterapkan Johan Cruyff ini telah membawa banyak kejayaan kepada kami.

"Jika kami was-was maka kami perlu memperbaiki sistem permainan ini, apa yang kami tidak boleh lakukan ialah bersikap sambil lewa. Jika kami melakukan kesilapan, kami perlu memperbaikinya."