BARCELONA 0 REAL BETIS 1

Xavi percaya penyokong Barcelona akan tetap berbangga walaupun pasukan kesayangan mereka itu mengalami kekecewaan 0-1 kepada Real Betis di tempat sendiri, awal pagi tadi.


Selepas kejayaan LaLiga mengatasi Espanyol dan Villarreal selain mengikat Benfica tanpa jaringan dalam Liga Juara-Juara (UCL), Real Betis memberikan kekalahan pertama kepada Xavi sejak dia mengambil alih tugas itu daripada Ronald Koeman.

Jumlah 23 gol yang dirakam skuad Blaugrana dalam LaLiga musim ini adalah yang terendah di peringkat ini sejak kempen 2003-04 yang menyaksikan mereka mencetak 19 jaringan, manakala jumlah 23 mata ketika ini adalah yang terendah sejak musim yang sama (20).

Bagaimanapun, Xavi enggan terlalu kecewa dan percaya pasukannya berhak mendapat keputusan yang lebih baik tetapi gol Juanmi ketika permainan berbaki 11 minit akhirnya menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan.

“Malangnya kami tidak sepatutnya kalah,” katanya dalam sidang media.




“Kami tidak bernasib baik seperti ketika menentang Villarreal.

“Kami tidak patut melepaskan gol sebegitu dan sayang sekali kami tewas walaupun kami berhak menang.

"Saya rasa penyokong akan tetap berbangga dengan kami. Kami memperagakan aksi yang sangat menarik dalam separuh masa kedua dan gol Betis datang apabila kami berada di tahap terbaik.

“Kadangkala anda perlu licik melakukan kekasaran taktikal untuk mengganggu rentak lawan dan kami tidak melakukannya.

“Gol mereka sangat mengganggu saya kerana situasi seperti ini tidak boleh berlaku kepada kami.

"Saya telah berpesan kepada pemain bahawa inilah bola sepak dan saya berbangga dengan mereka. Mereka telah mencurahkan segala-galanya dan jika sesiapa layak memenangi perlawanan ini, ia adalah Barca."

Perhatian Barca kini beralih kepada pertembungan penting Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, Khamis depan.

“Kami perlu bersaing seperti haiwan di Munich kerana kami berisiko tidak layak ke pusingan 16,” katanya lagi.

"Kami perlu bergantung kepada diri sendiri. Sifirnya mudah; jika menang kami akan berada dalam pusingan 16 dan jika Benfica tidak menang, maka kami akan lolos."