Marco Rose percaya Erling Haaland layak untuk dicalonkan dalam Anugerah Ballon d'Or tahun ini dan ketua jurulatih Borussia Dortmund itu turut tidak menolak untuk mengundi pemain bintangnya itu.

Haaland merupakan antara calon yang akan merebut Anugerah Ballon d'Or 2021 selepas cemerlang bersama pasukannya, Dortmund.

Penyerang berusia 21 tahun itu, yang diburu kelab-kelab besar Eropah, telah menjaringkan 41 gol daripada 41 penampilan sepanjang musim 2020-21 -- termasuk 27 daripada 28 perlawanan Bundesliga -- untuk dinamakan pemain terbaik Liga Jerman.

Haaland -- yang sentiasa dikaitkan untuk menyertai pasukan gergasi seperti Manchester City, Real Madrid, Bayern Munich, Manchester United, Liverpool, Juventus, Paris Saint-Germain (PSG) dan Barcelona -- telah mengumpulkan 24 gol sepanjang 25 penampilan buat Dortmund tahun ini.

Ketika Dortmund sedang mempersiapkan pasukan bagi pertemuan dengan Ajax dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok, Rose melaungkan pujiannya buat pemain kebangsaan Norway itu.

"Ketika Jule (Julian Brandt) berkata dia semakin baik ketika melakukan tandukan, anda sedar petama langkah besar telah diambil (Haaland) untuk ke depan sepanjang beberapa bulan lalu tetapi ia sudah pasti tentang betapa dia telah berkembang dengan hebat.

"Kami agak sedikit berat sebelah kerana Erling merupakan pemain kami dan kami sentiasa menyokong pemain kami. Apa yang telah dilakukannya merupakan sesuatu yang luar biasa.

"Dia dicalonkan dan dia layak... Jika anda melihat pesaing lain yang lebih berpengalaman dan telah bermain selama bertahun-tahun, agak baik untuk ada pemain muda di tahap itu.

"Saya fikir Erling boleh memenangi banyak gelaran individu pada tahun-tahun akan datang sekiranya dia kekal sihat tetapi perkara paling indah tentangnya adalah dia sentiasa mementingkan gelaran sepasukan berbanding individu.

"Itulah aspek paling penting tetapi sekiranya saya dapat mengundi (untuk Ballod d'Or), saya akan mengundi Erling," katanya.