Pemain tengah Barcelona dan Sepanyol, Pedri, memenangi Trophee Kopa dalam majlis Anugerah Ballon d'Or awal pagi tadi selepas meraih kegemilangan bersama kelab dan negaranya sepanjang tahun ini.

Anugerah itu didedikasikan buat pemain terbaik di bawah umur 21 tahun dan Pedri baru sahaja berusia 19 tahun pada 25 November lalu.

Pedri, yang menikmati musim cemerlang bersama Barca sebelum membantu Sepanyol ke separuh akhir Euro 2020 dan memenangi pingat perak Sukan Olimpik Tokyo, turut dinamakan dalam senarai pendek 30 pemain terbaik Ballon d'Or, di mana dia menduduki tangga ke-24.

"Cara terbaik untuk meraikan ulang tahun kelahiran ke-19 adalah dengan memenangi anugerah ini. Saya mahu berterima kasih kepada semua orang di Barcelona kerana membantu saya ke tahap ini," katanya ketika menerima trofi anugerah berkenaan.

Pedri menewaskan pemain Borussia Dortmund, Jude Bellingham, yang menduduki tempat kedua, manakala seorang lagi permain Dortmund, Giovanni Reyna, di posisi kesembilan.

Beberapa bintang muda Bundesliga yang lain turut berada dalam kelompok 10 teratas dengan Jamal Musiala (Bayern Munich) berada di tempat ketiga manakala Florian Wirtz (Bayer Leverkusen) ketujuh.

Dua pemain England, Mason Greendwood (Manchester United) dan Bukayo Saka (Arsenal), masing-masing menamatkan saingan di tempat kelima dan keenam.

Pertahanan kiri Paris Saint-germain (PSG), Nuno Mendes, menduduki tempat keempat manakala Ryan Gravenberch (Ajax) dan Jeremy Doku (Rennes) berkongsi kedudukan kelapan.