Lionel Messi tidak pesti rekodnya akan dapat diatasi mana-mana pemain selepas bintang Paris Saint-Germain (PSG) dan Argentina itu memenangi Anugerah Ballon d'Or buat kali ketujuh awal pagi tadi.

Messi kekal selaku pemenang terbanyak anugerah pemain terbaik itu selepas memenangi gelaran ketujuhnya di Paris manakala penggempur Bayern Munich, Robert Lewandowski, pula memenangi Anugerah Penyerang Terbaik Tahunan dan menduduki kedua senarai undian Ballon d'Or.

Ramai menjangkakan Lewandowski akan memenangi anugerah individu tertinggi itu selepas edisi 2020 terpaksa dibatalkan berikutan pandemik COVID-19, di mana bintang Bayern itu menghasilkan 53 gol daripada 42 penampilan sepanjang 2021 -- rekod tertinggi berbanding mana-mana pemain dalam kesemua kejohanan melibatkan lima liga utama Eropah.

Tetapi Messi berhasil melebarkan rekodnya selepas membantu Argentina menamatkan kemarau kejuaraan Copa America -- trofi pertama negaranya sejak 28 tahun lalu -- selain menghasilkan 32 gol dan 12 bantuan jaringan sepanjang 40 penampilan bersama Barcelona dan PSG sepanjang tahun ini.

"Saya tidak pasti sama ada rekod ini mampu diatasi atau tidak, saya hanya perlu menerimanya," kata pemain berusia 34 tahun itu kepada wartawan.



"Sejujurnya, saya tidak pasti rekod tujuh gelaran Ballon d'Or ini mampu diatasi.

"Tetapi tujuh gelaran ini benar-benar menakjubkan dan saya benar-benar gembira untuk memenanginya di Paris.

"Mengambil kira (bintang Liverpool) Mohamed Salah, (Robert) Lewandowski akan memiliki peluang dalam tahun-tahun mendatang, kedua-dua pemain itu benar-benar berada dalam prestasi terbaik setakat ini dan mereka akan memiliki peluang untuk memenangi trofi ini," katanya.

Sebagi rekod, Messi menjaringkan empat gol dan mencipta lima bantuan jaringan untuk membantu Argentina memenangi gelaran Copa America pertama sejak 1993.