MALAYSIA 5 LATVIA 0

Malaysia meneruskan rentak cemerlang Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2022 apabila melakar kemenangan kedua setelah menewaskan Latvia 5-0 dalam saingan Kumpulan A di di Santander, Sepanyol, semalam.


Dalam aksi di Paalcio de Deportes de Santander itu, skuad remaja negara meraih mata pertama menerusi beregu campuran, Choi Jian Sheng-Lai Ting Cen, yang mengecewakan Rihards Zugs-Arina Babre 21-12, 21-8.

Pemain perseorangan lelaki, Justin Hoh, melebarkan jurang kemenangan pasukan negara apabila meraih kemenangan mudah ke atas Toms Salam 21-4, 21-3.

Kemenangan itu nyata menyemarakkan seorang lagi pemain perseorangan wanita, Siti Nurshuhaini Azman, yang menyumbang mata ketiga apabila melakar kemenangan 21-10, 21-8 ke atas Anna Kupca.

Gandingan Muhammad Fazriq Mohamad Razif-Wong Vin Sean kemudian melebarkan mata buat skuad negara selepas menundukkan beregu lelaki Latvia, Edzus Meirans-Rihards Zugs, 21-11, 21-7.




Beregu wanita, Ong Xin Yee-Carmen Ting, melengkapkan kemenangan berjaya pasukan negara apabila menewaskan Arina Babre-Anna Kupca 21-4, 21-8.

Sementara itu, juara bertahan, Indonesia, mudah mengalahkan Sweden 5-0 sebelum ini akan berdepan Malaysia malam ini bagi merebut slot ke suku akhir.

Untuk rekod, juara kumpulan akan mara ke suku akhir manakala naib juara pula berentap dalam penentuan tempat 9 hingga 16.

Tempat ketiga akan bersaing merebut tempat 17 hingga 24 manakala tempat keempat dan kelima masing-masing akan menentukan kedudukan 24 hingga 32 dan 33 hingga 38.

Kredit: Sinar Harian