NOTTINGHAM 1 CHELSEA 1

Chelsea perlu bersatu untuk mengekalkan harapan dalam usaha perebutan empat tempat teratas musim ini apabila Cesar Azpilicueta menyeru rakan sepasukannya supaya mengelak daripada terus keciciran mata.


The Blues seri 1-1 dengan Nottingham Forest awal pagi tadi apabila Serge Aurier membatalkan jaringan pembukaan Raheem Sterling.

Ia menyaksikan pasukan bimbingan Graham Potter itu sekadar satu merakamkan kemenangan dalam lima perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk jurang tujuh mata dengan Manchester United.

Dengan mengutip hanya 25 mata musim ini, Chelsea kian hanyut dalam persaingan kelayakan Liga Juara-Juara (UCL), lantas Azpilicueta melaungkan seruan terhadap rakan sepasukan untuk mengubah senario semasa.

“Setiap mata adalah penting dan hari ini kami kehilangan dua mata,” katanya kepada Sky Sports.




“Sejak awal musim, kami telah kehilangan terlalu banyak mata.

"Kami jauh dari tempat yang kami harapkan ketika ini dan setiap perlawanan yang gagal dimenangi adalah satu peluang yang terlepas. Inilah realitinya berdasarkan carta liga, di situlah kami berada.





"Kami perlu mengharungi separuh kedua musim yang sangat baik seandainya kami berhajat bersaing dalam UCL musim depan. Kami perlu teguh bersatu.

"Kami tahu ini bukan masa yang paling menyenangkan tetapi dalam detik-detik sukar ini, kami memerlukan semua pihak untuk bersatu, bekerja keras, memperbaiki diri dan merendah diri."