Universiti yang mempunyai rekod akademik dan latar belakang sukan yang baik menjadi keutamaan atltet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi, untuk memutuskan masa depannya di institusi luar negara.

Atlet berusia 18 tahun itu menjelaskan dua tawaran menarik minatnya dan sedang dipertimbangkan termasuk Universiti Houston di bawah kendalian pemenang pingat emas Sukan Olimpik Amerika Syarikat, Carl Lewis.

Azeem mahu mengutamakan akademik dan karier sebagai pelari pecut negara selepas meraih keputusan cemerlang dalam spm dengan keputusan 6A selain menjadi wakil pertama Malaysia yang berjaya mara ke peringkat akhir acara 100 meter Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 di Colombia baru-baru ini.

Malah Azeem juga mencatat rekod kebangsaan baru dengan larian 10.09 saat sekaligus memecah rekod 10.18s yang dilakar Khairul Hafiz Jantan pada 2016 lalu.

"Selain itu, di Houston komuniti Islam di sana besar yang mana sedikit sebanyak dapat membantu saya dan menjamin keadaan saya di sana. Dari segi latihan, Universiti Houston sudah melahirkan jaguh pecut bertaraf dunia termasuklah yang ada ketika ini Shaun Maswanganyi dari Afrika Selatan yang turut beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Universiti ini juga memang terkenal dalam sukan olahraga dunia yang mana ketua jurulatihnya adalah Carl Lewis.

"Namun, baru-baru ini saya juga mendapat tawaran dari Universiti Auburn yang mana dari segi akademi memang mereka lebih bagus berbanding universiti sukan yang lain. Setakat ini, inilah dua universiti yang bermain dalam fikiran saya sekarang.

"Apa pun saya akan bincang dengan keluarga dan jurulatih untuk memutuskan universiti mana yang terbaik untuk masa depan saya," kata Azeem ketika ditemui sebaik tiba dari Colombia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Azeen ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan disambut meriah oleh keluarga, Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara.

Sementara itu, bapanya, Fahmi Tajuid turut berkongsi bahawa dia dan isteri, Norazah Ibrahim sudah melihat bakat anak mereka sejak Azeem berusia 8 tahun dan menyifatkan kepercayaan yang diletakkan kepada anaknya dalam melakukan sebarang keputusan menjadi kunci kejayaan.

"Bakat yang dimiliki Azeem telah mula dikenal pasti ketika berusia lapan tahun. Ketika itu, kami melatih abang Azeem namun mempamerkan potensi yang sangat tinggi," kata Fahmi.