'Awasi Ariff Aiman dan Endrick dos Santos', itu formula ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, apabila ditanya mengenai kekuatan juara Liga Super sembilan musim berturut turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang pertembungan dua pasukan berstatus gergasi itu Jumaat ini.

Menerusi perkongsian bersama Nadi Arena, pandangan Cheng Hoe tersebut berdasarkan analisa menyeluruh JDT di bawah bimbingan pengendali baharu, Esteban Solari musim ini.

Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan kejurulatihan Selangor di penghujung musim lalu, Cheng Hoe berjaya menemui kembali prestasi pasukan sehingga membawa The Red Giants ke pentas final Piala Malaysia.

Namun detik hitam empat bulan lalu, dikecewakan JDT masih lagi segar dalam ingatan dan atas faktor itu, Cheng Hoe mula merencana misi balas dendam ke atas JDT bersama kelompok pemain import yang baru.

"Bertemu JDT sentiasa menjadi perlawanan utama. Mereka sentiasa mendapatkan banyak jaringan dalam setiap perlawanan. Endrick harus dipantau sementara gerakan pemain sayap, Arif Aiman turut diawasi," kata Cheng Hoe.


Walaupun menyedari keupayaan jentera serangan JDT di satu tahap yang berbeza -- namun Cheng Hoe enggan menggetepikan falsafah bola sepaknya sambil mengesahkan gergasi merah kuning itu akan kekal dengan corak permainan menyerang di laman sendiri.

Individu yang bakal menggalas peranan penting pertembungan ini, kepercayaan Cheng Hoe diletakkan terhadap Ayron de Valle yang kini berada di kemuncak prestasi dan mula mempamerkan sentuhan berbisa.

"Ayron seorang pemain yang berkualiti dan kami mengharapkan dia menghadirkan sumbangan jaringan. Buat masa ini, dia masih lagi mendapatkan keserasian bersama rakan sepasukan.

"Kami tidak akan bertahan sahaja, terdapat 90 minit tempoh permainan, kami akan menyerang ke arah kubu pertahanan JDT."