'Masih terlalu awal untuk menilai kemampuan sebenar Melaka', itu pandangan kapten Melaka, Safiq Rahim, apabila pasukannya mendahului Liga Super selepas dua perlawanan bagi musim 2020.

Ia pembukaan yang sempurna buat Melaka namun masih terlalu awal menilai kemampuan sebenar barisan kendalian Zainal Abidin Hassan itu menjelang aksi ketiga menentang Felda United malam ini.

"Terlampau awal untuk menilai keupayaan sesebuah pasukan itu buat masa ini, liga baru sahaja bermula.

"Pasukan kami sendir masih banyak kelemahan dan kami mahu memperbaiki (prestasi) pasukan dalam satu persatu perlawanan," katanya ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Norsyarafina Nasrom, di Stadium Tun Abdul Razak.

Tegas Safiq, kehadiran pasukannya ke Jengka tetap dengan misi yang sama -- mempamerkan prestasi terbaik untuk mereka tidak pulang hampa.

Tiada istilah mudah dengan perbezaan enam mata memandangkan tuan rumah yang mungkin masih belum menemui rentak sebenar mereka pada awal musim.

"Semua pemain perlu diberi perhatian, kami tidak boleh jangkakan seseorang pemain itu akan sentiasa menyerlah dalam setiap pemain.

"Kami perlu berwaspada di semua posisi."

Melaka dibebani dengan kehilangan tiga pemain utama iaitu R. Devan, Saiful Redzuan Selamat dan pemain import, Jang Suk-won, yang mengalami kecederaan.