Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, mengecam Atletico Madrid semalam kerana tidak mengambil pendirian menentang laungan berbaur perkauman daripada penyokong mereka yang ditujukan kepada pemain sayap Real Madrid, Vinicius Junior.

Kelab itu kemudian mengeluarkan kenyataan mengatakan tindakan itu 'tidak boleh diterima' dan mereka tidak akan berhenti sehingga pelakunya ditemui dan diberikan hukuman sewajarnya.

Beberapa sektor penyokong melaungkan "Anda adalah monyet, Vinicius, anda adalah monyet,” sebelum dan semasa Real Madrid menang 2-1 di stadium Metropolitano ke atas Atletico Ahad lalu, manakala objek telah dibaling ke arah padang termasuk pemetik api dilemparkan ke arahnya dan rakan senegara Brazil, Rodrygo ketika mereka meraikan jaringan.

"Saya penyokong besar Atletico Madrid, jadi saya sangat sedih," kata Sanchez kepada Politico semasa di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

“Saya menjangkakan mesej kuat daripada kelab terhadap tingkah laku seperti ini, inilah yang saya akan minta daripada pasukan saya. Saya fikir adalah penting untuk kelab bola sepak mengambil tingkah laku seperti ini dengan serius dan bertindak balas.”

LaLiga akan melaporkan kejadian itu kepada jawatankuasa disiplin Persekutuan Bola Sepak Sepanyol tetapi Atletico tidak mengulas sehingga petang Selasa.

“Atletico Madrid mengecam laungan yang tidak boleh diterima oleh sebilangan kecil penyokong di luar stadium sebelum derby,” kata kelab itu.

“Segelintir tidak boleh mencemarkan imej beribu-ribu peminat Atletico yang menyokong pasukan mereka dengan penuh semangat dan rasa hormat kepada lawan.

“Kekecewaan itu turut dirasai Rojiblanco dan apa telah yang berlaku sesuatu yang tidak boleh diterima. Kami tidak boleh membenarkan peminat kami dikaitkan tindakan seperti ini dan mempersoalkan nilai kami kerana minoriti tidak mewakili kami secara keseluruhan.

“Keputusan kami tegas dan jelas, dan kami tidak akan berhenti sehingga mereka ditendang keluar daripada keluarga Rojiblanco, kerana mereka tidak boleh menjadi sebahagian daripadanya.”

Situasi tegang itu tercetus selepas Pedro Bravo, ketua persatuan ejen bola sepak Sepanyol, berkata di televisyen bahawa Vinicius perlu berhenti 'lakonan monyet' apabila menari untuk meraikan gol.

Bravo meminta maaf, mengatakan dia menggunakan frasa yang tidak bertujuan untuk mempunyai konotasi perkauman. Frasa itu biasanya digunakan di Sepanyol untuk bermaksud 'membuat kelakuan bodoh'.