Pertembungan mentor dan protege menggambil tempat di Stadium Hang Jebat semalam dengan sekembalinya Zainal Abidin hassan bertemu bekas pembantunya, Asri Ninggal membawa kesan mendalam buat kedua dua pasukan -- pada ketika Penang FC kekal di tangga tercorot, Melaka United pula kini dalam kalangan enam pasukan terbaik Liga Super 2022.

Pasca pertemuan menyaksikan aksi berat sebelah memihak Melaka United itu memberi impak positif menjelang pertemuan getir menentang pasukan kedua terbaik liga, Sabah FC sementara skuad Harimau Kumbang masih bergelut dengan masalah jentera pertahanan.

Kredit harus diberikan buat Asri yang kembali menstabilkan kekuatan pasukan Melaka United selepas permasalahan di awal musim kini tidak lagi menghantui skuad Hang Tuah.

Antara elemen utama kejayaan Melaka United berada dikalangan pasukan elit, kualiti yang dipersembahkan barisan awang import diterajui pemenang kasut emas Liga Super musim lalu, Ifedayo Olusegun.

Dua gol di setiap babak hasil sumbangan barisan kudrat import jadi pemisah hala tuju kedua dua pasukan -- malah daripada lima perlawanan terakhir Melaka United, mereka menjaringkan 10 gol dan kesemuanya hasil jaringan awang import.

"Saya berpendapat pemain tempatan boleh mengikut teladan yang dipamerkan oleh barisan import. Secara tidak langsung ia memberikan aura positif kepada pasukan," kata Asri.

"Kami akan bertemu Sabah di Likas, ia bukan mudah dan satu cabaran yang besar bagi Melaka United."