Jurgen Klopp belum berani untuk mencaturkan Arthur Melo sambil menyeru pemain tengah itu supaya meningkatkan prestasi di Liverpool.

Pemain antarabangsa Brazil itu dipinjamkan ke Merseyside daripada Juventus pada hari terakhir perpindahan bagi The Reds menyelesaikan krisis bahagian tengah berikutan Jordan Henderson, Thiago Alcantara, Naby Keita dan Alex Oxlade-Chamberlain dilanda kecederaan.

Begitupun, Klopp belum tertarik dengan kelibat pemain itu sejak tiba dari Turin apabila diberi kesempatan hanya 13 minit setakat ini.




Lantas, pengurus dari Jerman itu menjelaskan bahawa pemain berusia 26 tahun tersebut masih perlu menyesuaikan diri dengan kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Dia tiada kesempatan berlatih bersama pasukan di Juve sebelum ini, jadi dia memerlukan latihan pasukan yang betul dan itulah yang kami sedang lakukan dengannya," kata Klopp berdasarkan laporan kepada Daily Star.

"Bolehkah dia mendapatkan minit permainan? Ya. Patutkah dia bermain permainan penuh? Tidak, kerana dia perlu membiasakan diri dengan keamatan dalam setiap perlawanan terlebih dahulu.

"Ini bukan bermakna anda boleh kurang bekerja keras Liga Juara-Juara (UCL) berbanding EPL.

"Tidak sama sekali, terutama tidak di sini. Dia beraksi dengan baik, dia benar-benar mencurahkan segala-galanya dalam latihan, kami perlu berwaspada dengannya kemudian melihat sama ada kami boleh menggunakannya."