Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, bingung apabila pengadil, Mike Dean, mengambil keputusan untuk tidak melayangkan kad merah kepada James McArthur ketika pasukannya terikat 2-2 dengan Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi tadi.

Alexandre Lacazette menjaringkan gol penyamaan dramatik dalam waktu kecederaan untuk Arsenal meraih satu mata biarpun Palace bangkit daripada ketinggalan satu gol dan mendahului 2-1 pada hari Patrick Viera kembali ke laman bekas kelabnya selaku pengurus pasukan lawan.

Bagaimanapun, Arteta percaya pasukan pelawat itu seharusnya beraksi dengan 10 pemain sebelum waktu rehat selepas McArthur melakukan terjahan lewat ke atas Bukayo Saka susulan satu perebutan bola di udara.

Walaupun pasukan tuan rumah itu berang dengan kekasaran yang dilakukan McArthur, pemain tengah Palace berkenaan hanya dilayangkan kad kuning manakala Saka pula tidak dapat meneruskan permainan selepas gara-gara kecederaan.

Pengendali Arsenal, Arteta, jelas tidak berpuas hati dengan hukuman ringan itu, terutama selepas ia turut dinilai menggunakan video bantuan pengadil (VAR).

"Ia amat jelas kad merah. (McArthur) tiada niat untuk mendapatkan bola," katanya kepada BBC Sport.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku dengan VAR, dia tidak dibuang padang."

Walaupun kecewa dengan prestasi keseluruhan Arsenal dalam perlawanan itu, Arteta memuji ketabahan pasukannya dalam memburu gol penyamaan.

"Selepas mendapatkan gol pembukaan, kami tidak dapat bermain dengan baik.

"Kami tidak mempunyai ketenangan atau pengawalan permainan. Keadaan buruk itu berlaku dalam tempoh yang panjang, di mana ia amat membimbangkan.

"Kami bermula dengan lebih baik dalam babak kedua. Kami dapat mengawal permainan tetapi kemudian memberikan mereka dua peluang untuk menjaringkan gol.

"Perkara paling positif adalah kami terus berusaha. Mereka kekal percaya sehingga ke penghujungnya dan itulah cara kami mendapatkan satu mata," katanya lagi.