Mikel Arteta mengakui tugasnya di Arsenal amat mencabar selepas mencapai 150 perlawanan selaku pengurus The Gunners.

Pengurus berbangsa Sepanyol itu mencapai jumlah berkenaan ketika menewaskan Chelsea 1-0 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu, sekali gus kembali ke tangga teratas.

Ia juga menyamai jumlah Arteta mewakili Arsenal selaku pemain dari 2011 hingga 2016, di mana dia memenangi dua gelaran Piala FA sepanjang tempoh itu.

Bercakap dalam sidang media menjelang perlawanan Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Brighton awal pagi esok, Arteta mengimbas kembali perjalanannya selaku pengurus di Stadium Emirates sejak menggantikan Unai Emery pada Disember 2019.

"Banyak yang telah berlaku dalam dua pengalaman berbeza ini tetapi kali ini, ia benar-benar mencabar.

"Dengan cara saya memulakannya pada pertengahan musim, kemudian dengan dua tahun Covid, dan semua yang kami perlu lalui.

"Kini, ia merupakan satu fasa berbeza sejak tahun lalu apabila bola sepak sudah kembali seperti normal dan kami mula dapat melihat dengan lebih baik apa yang dimahukan daripada pasukan ini," katanya.