Musim persaingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 masih terlalu awal, dengan Arsenal mengekalkan pendahuluan hasil enam kemenangan daripada tujuh perlawanan.

Dalam pada itu, berbanding pasukan-pasukan utama lain, Brighton tampil selaku pasukan paling mengejutkan dalam kelompok empat teratas ketika ini – di samping Fulham -- berdasarkan penilaian The Daily Mail dalam kad laporannya.

Barangkali ia baru hanya tujuh perlawanan tapi permulaan musim ini tidak sunyi daripada cerita-cerita gempar sambil pasukan selebihnya memilih untuk merangkak-rangkak di sebalik EPL menjanjikan tarikan tersendiri pada tahun yang sama dengan Piala Dunia FIFA di Qatar, November ini.

Agak menghairankan untuk tumpuan awal menjadi milik Arsenal, terutama selepas kekecewaannya pada penghujung musim lalu, yang menyaksikan The Gunners melepaskan tempat dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) kepada musuh setempat, Tottenham Hotspur, pada hari terakhir.

Di sebalik kedudukan pengurus, Mikel Arteta, tidak tergugat, namun dia tidak mampu untuk membuka musim dengan perlahan, apatah lagi sesudah dibelkalkan dana perpindahan berjumlah £120 juta (RM620 juta).

Tuah jadual menyaksikan Arteta membalas budi hasil kemenangan ke atas Crystal Palace, Leicester City, Bournemouth, Fulham, Aston Villa dan Brentford, dengan kekalahan tunggal 1-3 di Manchester United, 4 September lalu.



Lantas, ia menimbulkan persoalan terhadap mentaliti pemain-pemain Arsenal ketika berdepan cabaran pasukan-pasukan yang tergolong selaku enam terbesar.

Benarkah begitu?

Tidak semestinya kerana sesetengah lawan beranggapan Arsenal berpotensi mencabar kejuaraan, termasuk pengurus Brentford, Thomas Frank, yang pasukannya diperbudakkan 0-3 hasil jaringan Fabio Vieira, Gabriel Jesus dan William Saliba, Sabtu lalu.

Kebangkitan awal The Gunners musim ini tidak syak lagi boleh disandarkan kepada pembelian baru – Jesus cemerlang mengepalai serangan di samping Oleksandr Zinchenko banyak menstabilkan keadaan di bek kiri sejak ketibaan kedua-duanya daripada Manchester City sambil Fabio Vieira menambah perisa di bahagian tengah.

Ujian sebenar dikatakan menanti selepas tempoh rehat antarabangsa ini dengan pertemuan ‘derby’ menentang Spurs tapi rekod baik di tempat sendiri dengan lawan berkenaan, apatah pula satu lagi kemenangan, akan meyakinkan ramai yang Arsenal semakin luar biasa.

Pada skala berbeza, Brighton – di tangga keempat ketika ini – sekadar menggariskan kerja keras pengurus, Graham Potter, sebelum dia disambar Chelsea menggantikan Thomas Tuchel yang dipecat.
Di bawah asuhannya, Brighton telah memperagakan stail bola sepak yang menarik, dengan kemenangan 2-1 ke atas Manchester United dan 5-2 mengatasi Leicester City rata-rata menjadi buah mulut.

Kini terserah kepada pengurus baru dari Itali, Roberto De Zerbi, untuk meneruskan kebangkitan mereka, dengan kunjungan ke Anfield, 1 Oktober ini, menjadi ujian sulungnya.

Kalah hanya dua kali setakat ini, itu pun secara tipis kepada Tottenham (1-2) dan Arsenal (1-2) – kedua-duanya menyaksikan Aleksandar Mitrovic menjaringkan gol – mengangkat Fulham ke tangga keenam liga.

Ia, bagaimanapun, akan dianggap kejayaan jika mereka tidak turun semula ke Liga Kejuaraan sejurus musim ini berakhir.