Sepuluh perlawanan ‘final’. Itulah yang memisahkan Arsenal dengan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat julung-julung kalinya dalam tempoh 19 tahun.

Lantaran demikian, pengurus Mikel Arteta menggesa pemain-pemainnya agar kembali daripada tempoh rehat antarabangsa dengan pemikiran dan kesungguhan yang sama untuk mengharungi cabaran yang semakin memuncak itu.

Skuad The Gunners kini berjarak lapan mata di tangga teratas daripada Manchester City susulan kemenangan 4-1 ke atas Crystal Palace kelmarin hasil jaringan Bukayo Saka (dua) serta Granit Xhaka dan Gabriel Martinelli.

“Kami sudah terkeluar daripada semua pertandingan lain,” ujar Saka. “Yang tinggal cuma EPL dan sebab itulah kami anggap baki 10 perlawanan liga sebagai final.

“Kami bersiap dengan sebaik-baiknya, akan mengerah sehabis daya kami, kemudian kami akan lihat di mana kesudahannya buat kami.”

Di sebalik Arsenal memiliki jurang pendahuluan mata yang selesa, wujud kebimbangan mereka akan dipersulitkan oleh masalah kecederaan sambil pesaing terdekat, City, pula berdepan jadual padat meliputi Piala FA dan saingan di peringkat Eropah.

Persoalannya, siapakah yang akan tampil juara – apakah Arsenal buat kali pertama sejak skuad ‘serba kebal’ pada 2003-04 atau City yang akan menjulang trofi EPL buat kali kelima di bawah Pep Guardiola?





Seperti disorot The Daily Mail, Arsenal berulang kali berdepan ‘persimpangan’ musim ini tapi setiap kali itulah, skuad kendalian Mikel Arteta itu beupaya mengatasinya.

Kunjungan ke Liverpool, Manchester City, West Ham dan Newcastle sedia menanti di samping melayani kedatangan Chelsea dan Brighton di Emirates.

Tidak syak lagi rentetan berkenaan bakal menjadi ujian getir jika diambil kira The Gunners belum menang perlawanan liga di Anfield sejak 2012, kerap tersembam di Etihad manakala kekalahan di St James’ Park musim lalu mengakibatkan mereka terlepas tempat ke saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Kelebihan psikologi memihak Arsenal musim ini – mereka menang di stadium baru Tottenham buat pertama kali, dapat mengatasi Liverpool di Emirates selain menebus kekalahan di Brentford dan Crystal Palace.

Sebaliknya, di pihak City pula, mereka bakal menangani sejumlah lebih perlawanan dalam tempoh lapan minggu berikut – 11 daripadanya dalam liga, dengan perlawanan menentang Brighton dan West Ham belum lagi dijadualkan.

Ditambah aksi separuh akhir Piala FA berdepan Sheffield United serta kemungkinan aksi timbal balik separuh akhir UCL, semuanya seadar akan menyesakkan nafas.






Berjuang dalam tiga saingan berbeza boleh meletakkan City dalam situasi tidak berkelebihan jika dibandingkan dengan Arsenal, yang hanya perlu fokus kepada baki saingan EPL.

Di atas kertas, pertemuan paling sukar buat The Citizens adalah kunjungan ke Brighton, di mana skuad kendalian Roberto De Zerbi itu berupaya mengangkat diri mereka ke tahap cabaran yang memuncak pada minggu pertama Mei nanti.

Tiada apa yang kelihatan pasti pada waktu ini di sebalik hakikat bahawa City kerap tersingkir daripada saingan piala pada masa lalu, hanya untuk unggul dalam liga.

Mungkinkah ini akan berulang?