Legenda Arsenal, David Seaman, percaya kegagalan layak ke Liga Juara-Juara (UCL) boleh mengundang rahmat yang tersembunyi.

Walaupun membuat permulaan buruk musim lalu, skuad kendalian Mikel Arteta itu meniti kelayakan ke pentas teratas Eropah selepas larian mengagumkan yang meletakkan mereka di tangga keempat dengan baki tiga perlawanan, empat mata di depan Tottenham yang berada di tangga kelima.

Bagaimanapun, selepas tewas dua daripada tiga perlawanan terakhir termasuk kekalahan 0-3 di Spurs, slot mereka dirampas pesaing utara London itu.

Seaman mengulas mengenai prestasi hujung musim mereka yang memilukan itu dengan memberitahu Stats Perform: "Bahagian terburuk mengenainya ialah Tottenham menyingkirkan kami.

"Oleh kerana ia adalah Tottenham dan apa yang berlaku musim lalu, kami berada dalam kelompok bawahan liga (di penghujung Ogos 2021). Mereka di kedudukan teratas kemudian memasuki rehat antarabangsa, jadi mereka berada di puncak selama dua minggu sementara kami tercorot. Itu menjadikannya lebih teruk (ketawa).

"Kemudian mereka merampas tiket UCL daripada kami. Tetapi kita tidak perlu berterusan memberi tumpuan kepada elemen negatif, anda perlu bersikap positif mengenainya.

"Anda perlu terus belajar anda perlu menjadi lebih baik. Dan itulah yang kami lakukan."



Seaman bercakap tentang kepercayaannya bahawa di sebalik kempunan terlepas peluang itu, Liga Europa mungkin merupakan peluang yang lebih baik untuk menjulang piala.

"Ia satu peningkatan. Kami menduduki tempat kelapan dua kali," katanya.

“Ramai orang menjurus ke arah negatif dengan mengatakan kami telah melepaskan peluang UCL.

"Tetapi walaupun ketika mereka di kedudukan empat teratas, ramai yang kata 'Wah, kami meraih pencapaian yang luar biasa di sini.' Hakikat kami menduduki tempat kelima dan kini dalam Liga Europa masih merupakan sesuatu yang positif.

"Saya fikir, kami lebih bersedia untuk memenangi Liga Europa berbanding UCL. Kami mempunyai peluang yang lebih realistik untuk memenanginya. Jadi ini semua tentang bersikap positif dan maju.

"Dan itulah yang berlaku. Kami semakin baik dan lebih baik. Pemain muda semakin berpengalaman dan mereka semua menawarkan masa depan yang baik buat Arsenal."