ARSENAL 0 NEWCASTLE 0

Mikel Arteta percaya Arsenal sepatutnya dihadiahkan dua sepakan penalti ketika terikat tanpa jaringan dengan Newcastle United apabila menyifatkan ia sebagai skandal.


The Gunners keciciran mata buat kali pertama di Stadium Emirates dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila terlepas peluang untuk menjarakkan kelebihan 10 mata dengan Manchester City yang akan menentang Chelsea, awal pagi esok.

Arsenal mencipta deretan peluang ketika berdepan kelab di tangga ketiga kendalian Eddie Howe itu yang melancarkan 17 percubaan ke arah gawang, tetapi hanya empat yang menuju tepat dan pendahulu itu tidak berada di tahap terbaik mereka di kubu lawan.


Justeru, pengurus kelab London itu kesal dengan dua keputusan yang tidak menyebelahi pasukannya apabila berpandangannya bahawa pengadil, Andy Madley, sepatutnya menghukum Dan Burn kerana menarik baju Gabriel Magalhaes selain bola terkena tangan Jacob Murphy di penghujung permainan..

“Saya amat berbangga dengan pemain saya, cara kami beraksi, cara kami menguasai permainan, cara kami mencuba dan terus mencuba termasuk cara kami menguasai permainan,” katanya kepada Sky Sports.






“Kami kurang menyengat di kawasan akhir lawan, kami mempunyai begitu banyak situasi untuk menyelesaikan peluang dengan lebih baik, kemudian kami sepatutnya diberikan dua sepakan penalti.

"Memang jelas kami wajar mendapat dua sepakan penalti, ia sangat mudah. Saya bercakap tentang apa yang saya lihat dan ia memalukan.

"Apabila tidak mampu menang, kami tidak mahu kalah. Kami dapat mengekalkan rekod cemerlang dan telah mempamerkan prestasi yang sangat baik dan kami akan terus berjuang.

"Saya mahu memenangi perlawanan, sebaliknya kami cuma seri dan kami sepatutnya melakukan perkara-perkara tertentu dengan lebih berkesan, khususnya di sepertiga akhir, malah kami sepatutnya mendapat dua sepakan penalti untuk memenangi perlawanan ini."

Arsenal berkemungkinan akan merombak skuad mereka untuk perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Oxford United, Selasa depan, sebelum mengharungi 'derby' London utara menentang Tottenham pada 16 Januari ini.