Sentuhan pemusnah Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli membantu Arsenal menewaskan Newcastle United 2-0 dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.

Rekod kebal tanpa kalah skuad kendalian Mikel Arteta itu dalam kempen liga lebur di tangan Liverpool hujung minggu lalu, sementara kelibat Eddie Howe berada di bangku simpanan Newcastle buat kali pertama.

Namun, kehadiran Howe masih belum cukup untuk mengeluarkan pasukannya dari zon bahaya, lebih-lebih lagi menjadi satu-satunya pasukan yang belum menang selepas 12 perlawanan.

Jonjo Shelvey dan Pierre-Emerick Aubameyang kedua-duanya memiliki peluang menarik menerusi rembatan kencang dalam separuh masa pertama di Stadium Emirates itu sebelum Saka akhirnya memecah kebuntuan selepas 56 minit permainan.

Pemain gantian, Martinelli, menokok gol kedua hanya 93 saat selepas dimasukkan untuk Arsenal menyamai mata dengan West Ham -- yang menentang Manchester City malam esok -- di tangga keempat.