Pemain sayap, Arif Aiman Mohd Hanapi, dan pemain tengah, Endrick Dos Santos, disahkan tidak akan beraksi dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada Selasa ini.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon, berkata kedua-dua pemain itu telah dilepaskan daripada kem latihan pusat Harimau Malaya selepas mengalami kecederaan.

"Dengan situasi terkini itu, Arif Aiman dan Endrick sah tidak dapat diturunkan untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada Selasa ini.

"Pegawai dan pasukan perubatan FAM sentiasa mengutamakan kesihatan serta keselamatan pemainnya dan telah bersetuju untuk melepaskan Arif Aiman dan Endrick ​​dari kem latihan pusat ini supaya mereka dapat kembali kepada tahap kesihatan terbaik selepas ini," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Sebelum ini, ketiadaan Arif Aiman menimbulkan tanda tanya selepas tiada dalam senarai pemain ketika menentang Turkmenistan selain kelibatnya tidak kelihatan dalam sesi latihan.

Pan-gon turut menjelaskan tiada pemain baru akan dipanggil mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh kedua-dua pemain itu.

"Dengan ketiadaan Arif Aiman dan Endrick, baki 25 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat ini dan tiada penambahan pemain baharu," katanya lagi.

Kredit: Sinar Harian