Antony kembali ke sesi latihan Manchester United selepas terlepas kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Bournemouth, semalam.

Kelibat pemain sayap itu tidak kelihatan ketika pasukan bimbingan Erik ten Hag beraksi di Old Trafford dan pengurus tersebut hanya menyatakan pemain Brazil terbabit tercedera.

Tetapi menjelang pertembungan Piala FA bertemu Everton awal pagi esok, kelab itu mendedahkan Antony telah menjalani sesi latihan semalam, secara tidak langsung mengetepikan sebarang kebimbangan mengenai kecederaan berlarutan.

Antony menyumbat gol dalam tiga perlawanan awal EPL buat The Red Devils sejak ketibaannya pada awal kempen, namun sejak itu berdepan ketumpulan penyudah.

Gol terakhirnya adalah ketika menentang Everton, lantas dia berharap dapat terlibat ketika menentang The Toffees untuk pertemuan pusingan ketiga Piala FA, awal pagi esok.


Dalam masa sama, bekas peminjam Everton, Donny van de Beek, dijangka berehat lama.

Hanya turun dalam permulaan liga keduanya musim ini, terjahan keras pertahanan Bournemouth, Marcos Senesi, mungkin menamatkan kempen pemain tengah itu lebih awal.

Ten Hag tidak dapat mendedahkan sejauh mana isu itu dalam komennya selepas perlawanan sambil mengakui: "Kami perlu menunggu 24 jam.

"Tetapi ia tidak kelihatan sangat baik."