Antonio Conte telah mengosongkan jawatannya di Tottenham atas persetujuan bersama, seminggu selepas mengkritik kelab dan barisan pemain sambil penolong jurulatih, Cristian Stellini, akan bertindak sebagai pengurus sementara hingga akhir musim ini.

Conte -- yang dilaporkan tidak bercadang memperbaharui kontraknya yang akan berakhir hujung musim ini -- membidas pemain Spurs yang membazirkan kelebihan dua gol ketika diikat 3-3 oleh kelab tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), Southampton, minggu lalu, dengan melabel pemainnya "mementingkan diri sendiri" selain mempersoalkan kekurangan kejayaan Tottenham dibawah Pengerusi, Daniel Levy.

Dia dilaporkan diminta oleh Levy dan ketua kelab untuk menjelaskan ulasannya mengenai '20 tahun mereka tidak pernah memenangi sesuatu' dan ia sebalik ditujukan kepada pemain, bukannya bosnya.

Tetapi kedudukan Conte nampaknya tidak lagi dapat dipertahankan dengan Spurs mengesahkan pemergian pengurus berbangsa Itali itu, sebentar tadi.





“Kami mengumumkan bahawa ketua jurulatih, Antonio Conte, telah meninggalkan kelab ini atas persetujuan bersama,” demikian satu kenyataan yang dikeluarkan Spurs.

"Kami mara ke Liga Juara-Juara (UCL) pada musim pertama Antonio di kelab ini.

"Kami berterima kasih kepada Antonio atas sumbangannya dan mendoakan kesejahteraannya pada masa depan.

"Cristian Stellini akan mengambil alih pasukan sebagai pemangku ketua jurulatih untuk baki musim ini di samping Ryan Mason yang akan menggalas tugas sebagai penolong ketua jurulatih."