Badang negara, Aznil Bidin, memaklumkan bahawa dia kini dalam proses peralihan sepenuhnya daripada kategori 61kg ke kategori 67kg.

Bagi atlet kelahiran Bukit Pinang, Kedah itu, cabaran dalam kategori 67kg yang lebih besar terutama membabitkan pesaing-pesaing dari negara kuasa besar sukan angkat berat.

Ketika ditanya mengenai rakan senegara, Aniq Kasdan, yang bakal beralih ke kategori 61kg, Aznil optimis Aniq mampu mencapai prestasi terbaik tetapi memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

"Saya perlu naikkan badan. Selepas ini program latihan saya akan berbeza.

"Baguslah kami dapat buat persiapan awal untuk Sukan Komanwel dan Aniq juga ada masa untuk persiapan pertahankan emas 61kg Sukan Komanwel," kata Aznil.

Dalam perkembangan sama, jurulatih angkat berat negara, Yon Haryono, tidak meletakkan sebarang sasaran buat Aznil dan Aniq yang akan berlepas ke Bahrain esok untuk Kejuaraan Asia.

Tegas Haryono, pentas itu akan menjadi pentas pemanas badan buat kedua-dua badang negara berkenaan menjelang misi mengutip mata kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula Disember depan di Bogota, Colombia.




"Aznil kesuntukan masa untuk menjalani latihan. Biasanya selepas menyertai sesuatu kejohanan besar, atlet memerlukan sebulan rehat tapi sekarang hanya ada tempoh dua minggu sahaja.

"Aniq pula baru menyertai Sukma (Sukan Malaysia) ke Bahrain.

"Walaupun tidak bersedia 100 peratus, kejohanan ini bolehlah dijadikan pemanas badan.

"Mereka ada peluang, lagipun prestasi mereka masih boleh ditingkatkan," katanya pula.