Angel Di Maria dan Juventus bersetuju dengan butiran akhir kontrak yang dibentangkan sebelum pemain antarabangsa Argentina itu melengkapkan perpindahan ke Turin, menurut ejen penyerang itu.

Di Maria menyertai Paris Saint-Germain (PSG) daripada Manchester United pada 2015 tetapi akan meninggalkan ibu kota Perancis itu sejurus kontraknya berakhir hujung minggu ini.

Barcelona dikatakan berminat tetapi laporan mencadangkan pemain berusia 34 tahun itu akan menandatangani perjanjian setahun dengan Juve dengan pilihan lanjutan tambahan semusim.

Ketua jurulatih baru Rosario Central, Carlos Tevez, turut menyatakan minatnya untuk membawa Di Maria kembali ke bekas kelabnya itu selepas penyerang tersebut dikatakan mahu kembali ke Argentina selepas Piala Dunia di Qatar.



Hasrat itu dikatakan telah menyebabkan rundingan di antara Di Maria dan Juve tertangguh tetapi ejennya, Lisandro Pirosanto, menegaskan mereka hampir memuktamadkan perbincangan tidak lama lagi.

“Kami bercakap mengenai butiran akhir dan kami sedang menunggu Juventus memberikan kami persetujuan dalam beberapa perkara,” kata Pirosanto seperti dipetik oleh La Stampa.

Massimiliano Allegri akan memperoleh seorang pemain berpengalaman sekiranya Di Maria tiba seperti yang dijangkakan tatkala Juve ingin bersaing dengan Milan, Inter dan Napoli di kemuncak Serie A.

Di Maria tampil 295 kali bersama PSG dengan menjaringkan 92 gol dan mencipta 112 bantuan gol.