ATHLETIC BILBAO 0 REAL MADRID 2

Vinicius Junior wajar mendapat penghormatan yang lebih baik, menurut pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti.


Kelibat penyerang itu tenggelam di sebalik kemenangan 2-0 ke atas Athletic Bilbao menerusi penyudah daripada Karim Benzema dan Toni Kroos di Stadium San Mames, awal pagi tadi, apabila sekadar menyumbang satu percubaan selain dilayangkan kad kuning.

Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu menerima enam kekasaran termasuk terjahan berat.

Lantas, Ancelotti mempertahankan persembahan anak buahnya itu bahkan menegaskan perasaannya terhadap penyerang tersebut.

"Dia seorang yang sangat sensitif tetapi dalam masa sama semua orang mendesaknya," katanya.



“Dia perlu berdepan pemain lawan, penyokong dan adakalanya pengadil juga.

"Malam ini, seperti biasa, dia kerap dikasari. Tetapi dia akan menjadi lebih baik dalam hal ini. Buat masa ini, semua orang memberi tekanan kepadanya.

"Mungkin kadang-kadang dia hilang tumpuan tetapi dia seorang pemain yang masih sangat mentah.

"Saya sangat menyayanginya dan saya mahu dia lebih dihormati."