Carlo Ancelotti menegaskan perancangan Real Madrid untuk musim depan "sudah selesai" tetapi tidak mahu mendedahkan sama ada kelab itu telah membuat tawaran baru ke atas Kylian Mbappe.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu memasuki enam bulan terakhir kontraknya di Parc des Princes dan bukan satu rahsia lagi jaguh LaLiga berkenaan amat berhajat untuk membawanya ke Sepanyol.

Pemain berusia 23 tahun itu -- yang menjadi sasaran Los Blancos ketika jendela perpindahan musim panas lalu -- baru-baru ini menolak untuk meninggalkan PSG pada pertengahan musim.

Bagaimanapun, ejen dari Itali, Giovanni Branchini, mendedahkan pendahulu LaLiga itu telah menawarkan €50 juta (RM236j) untuk menandatangani Mbappe -- kurang enam bulan selepas mereka dilaporkan menawarkan setinggi €200j (RM944j).

Mereka boleh menyambarnya sebagai ejen bebas pada penghujung kempen ini sekiranya Mbappe menolak untuk melanjutkan kontraknya di Paris, tetapi peluang untuk mendapatkan bintang antarabangsa Perancis itu pada ketika ini akan menjadi pembelian sensasi.

Ancelotti yang ditanya mengenai pendedahan Branchini itu dalam sidang akhbar pada malam tadi sebaliknya memilih untuk mengetepikan isu berkenaan.

“Bercakap tentang pemain yang tidak berada di sini nampaknya tidak adil bagi saya,” katanya.

"Saya mempunyai hubungan baik dengan Branchini. Saya lebih suka untuk tidak mengulas mengenai perkara ini."



Mbappe meledak hatrik dalam kemenangan 4-0 ke atas Vannes dalam Coupe de France, semalam, dan telah membuktikan tekadnya berjuang merebut trofi bersama pasukan kendalian Mauricio Pochettino itu pada musim ini.

Menurut Ancelotti mengenai Madrid yang memasang misi serampang dua bagi perancangan jangka masa pendek dan panjang: "Perancangan untuk musim depan sudah selesai. Saya akan mendapati adalah tidak profesional jika kelab seperti Madrid belum menetapkan perancangan."

Los Blancos berdepan Alcoyano di peringkat 32 Copa del Rey, awal pagi esok -- setahun selepas diaibkan kelab kerdil itu di Estadio El Collao, Alcoy.