GRANADA 1 REAL MADRID 4

Carlo Ancelotti memuji bahagian tengah Real Madrid sebagai yang terbaik di dunia selepas Toni Kroos, Luka Modric dan Casemiro menghidupkan kemenangan 4-1 di Granada.


Kroos, yang sering diselubungi kecederaan kebelakangan ini, mencipta dua bantuan gol pertamanya musim ini sementara Modric dan Casemiro turut menjana gerak jaringan dalam kemenangan mengagumkan, awal pagi tadi.

Ia kejayaan kali ke-13 berturut-turut pelawat ke atas lawan yang sama dalam saingan LaLiga.

Kali terakhir Granada merakam kemenangan di tempat sendiri ke atas Madrid adalah pada Februari 2013 berikutan jaringan tunggal sendiri Cristiano Ronaldo -- satu-satunya kesilapannya dalam 292 penampilan di Sepanyol.

Namun, kali ini Madrid sama sekali tidak terancam apabila dengan mudah mendahului 3-1 dan masih mengidamkan gol hingga mengakibatkan Monchu dibuang padang kerana terjahan terhadap Vinicius Junior.

Marco Asensio, Nacho, Vinicius dan Ferland Mendy mencetak nama sebagai penjaring selepas dibayangi persembahan jitu daripada tiga pemain tengah Madrid dan ia diakui Ancelotti selepas perlawanan.

Dengan Real Sociedad hanya mampu seri ketika menentang Valencia, ini bermakna Madrid menamatkan hujung minggu ini di tangga teratas dengan kelebihan satu mata.

"Apa yang anda boleh katakan," kata pengurus Madrid berbangsa Itali itu kepada pemberita.





"Mereka beraksi di tahap yang sangat tinggi dan bagi saya, mereka masih merupakan pemain tengah terbaik di dunia. Mereka melakukan perkara yang saya tidak minta, mereka melakukannya secara semula jadi dan ia adalah satu kelebihan besar untuk kelab ini.

"Mereka adalah tunjang masa lalu, kini dan masa depan. Sudah tentu kita bercakap tentang masa terdekat ini. Jika dilihat dalam tempoh 10 tahun ini, mereka mungkin tiada lagi berada dalam senarai itu. Tetapi untuk masa depan, kami masih berada dalam keadaan yang baik kerana Eduardo Camavinga, Federico Valverde dan Antonio Blanco juga sudah bersedia (menggalas tanggungjawab).

"Mereka sudah biasa beraksi bersama dan mereka mempunyai kualiti yang sukar untuk dijelaskan. Cara mereka menukar posisi ketika permainan, kadangkala Modric turun ke bawah untuk memberikan tekanan dan ada masanya Kroos dan Casemiro pula yang bergerak ke hadapan."

Kroos mencipta empat peluang tertinggi perlawanan dan menamatkan aksi dengan ketepatan hantaran setinggi 97.4 peratus.