Carlo Ancelotti berkata Barcelona bukan pencabar Real Madrid ketika ini selepas pasukan Blaugrana itu mengharungi musim sukar.

Los Blancos mendahului lapan mata di puncak carta liga apabila hanya sekali tewas dalam La Liga musim ini iaitu ketika menentang Espanyol pada 3 Oktober lalu.

Sementara itu, Barca ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu itu untuk menghuni tangga kelapan apabila sekadar memenangi enam perlawanan LaLiga musim ini.

Pengurus Madrid itu berasakan bahawa pasukan seperti Sevilla dan Real Betis yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga mampu memberi lebih ancaman daripada kelab Catalan itu.

"Ketika ini, Barcelona bukan saingan kami sambil Sevilla, Atletico atau Betis menjadi seteru utama. Jika saya menjadi pengurus Barcelona sekalipun, ​​saya tetap akan berkata bahawa kami juga tidak boleh menolak untuk menjuarai LaLiga," kata Ancelotti dalam sidang akhbar menjelang pertembungan dengan Cadiz, awal pagi esok.

Ancelotti tanpa enam pemain untuk pertemuan itu akibat COVID-19 dengan khidmat Marcelo, Luka Modric, Andriy Lunin, Marco Asensio, Gareth Bale dan Rodrygo perlu dilupakan sementara kelibat Isco diragui.

Pengurus berbangsa Itali itu menawarkan maklumat terkini mengenai kecergasan skuadnya dan optimis tentang peluang Eden Hazard untuk memainkan peranan utama.

"Hazard akan bermula esok. Dia mahukan motivasi dan dia akan beraksi kerana dia berlatih dengan baik dan berhak mendapatnya. Dia sentiasa dalam keadaan yang baik. Masalahnya dia tidak selalu dapat berlatih 100 peratus dan saya fikir dia akan mengharungi satu permainan yang baik esok.

"Hazard sudah bersedia. Jelas sekali dalam bahagian pertama musim ini, dia terpaksa bersaing dengan Karim Benzema dan Vinicius Junior, kini dia boleh memiliki bahagian kedua yang sangat bagus musim ini.

"Benzema telah berlatih dengan sangat baik. Dia dalam keadaa terbaik dan akan diturunkan. Modric telah diuji negatif tetapi masih dikuarantin. Dia berasa letih dan demam jadi dia tidak akan berada di sana esok. Kemudian kami perlu menilai peraturan yang ada."