REAL MADRID 2 SEVILLA 1

Carlo Ancelotti percaya Vinicius Junior mempunyai "sesuatu yang istimewa" selepas pemain itu menjaringkan gol lewat permainan untuk memastikan kemenangan 2-1 Real Madrid ke atas Sevilla dalam perlawanan LaLiga awal pagi tadi.

Aksi di Santiago Bernabeu itu menyaksikan Karim Benzema memadamkan jaringan awal Rafa Mir sebelum Vinicius memastikan mata penuh buat Madrid menerusi jaringan dari jarak 22 ela pada minit ke-87.

Pemain kebangsaan Brazil itu kini telah menjaringkan sembilan gol daripada 14 perlawanan LaLiga musim ini.

Ancelotti sudah lama kagum dengan aksi serba boleh penyerang itu dan gembira apabila pemain berusia 21 tahun berkenaan dapat menambah jaringan dalam perlawanan terbaru itu.

"Vini memiliki sesuatu yang Istimewa. Jaringannya amat luar biasa, percubaan yang hebat.

"Dia tidak dapat menghasilkan peluang melalui gelecekan, dia tidak dapat melakukan apa yang dia mahukan tetapi dia fokus untuk menjadi efektif dalam perlawanan ini.

"Ia merupakan satu lagi langkah untuk menjadi pemain terbaik. Saya tahu kualitinya dalam beberapa situasi, dalam menggelecek tetapi dia sebelum ini tidak mempunyai kualiti untuk menjaringkan gol.

"Dia kini telah menunjukkan satu lagi kualiti yang tidak pernah dia tunjukkan sebelum ini," katanya.



Keputusan itu meletakkan Los Blancos berkelebihan empat mata di depan Atletico Madrid dan Real Sociedad untuk menduduki tangga teratas LaLiga manakala Sevilla pula berada di tangga keempat dengan ketinggalan lima mata di belakang pendahulu itu.

Madrid seterusnya akan meneruskan saingan degan menantikan kunjungan Athletic Bilbao pertengahan minggu ini.